
Laporan/foto: Hafizah Rahim (Terengganu)
KUALA NERUS, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM2,000 diskaun ditawarkan kepada peserta yang mendaftar Program Diploma Kampus Bachok di Hari Terbuka ‘Jom Masuk UM’ 2023 yang berlangsung di Payang Scout Inn, di sini semalam.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah@ Kamal Mohamed, berkata program yang julung-julung kali diadakan di Negeri Terengganu ini bertujuan memperkenal dan menggalakkan penyertaan anak-anak Terengganu untuk menyambung pengajian.
“Penganjuran program ini sangat relevan dan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat menerusi pendedahan maklumat lanjut berkaitan penawaran program pengajian,” katanya.
Tambah beliau, program ini juga berperanan sebagai medium interaksi yang bersifat santai sekaligus membolehkan pelajar, ibu bapa, industri, pihak sekolah, dan masyarakat umum mendapatkan maklumat berkenaan peluang pengajian dan bantuan kewangan yang ditawarkan.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang acara ini berlangsung antaranya sesi konsultasi secara bersemuka, maklumat bantuan kewangan pendidikan, pendaftaran segera program pendidikan Universiti Malaya (UM) dan tawaran baucar RM500 kepada mereka yang membuat pendaftaran disediakan khusus buat 100 pengunjung terawal.
Turut hadir Dekan Pusat Pendidikan berterusan UM Profesor Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail.
-ZS-