
Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membangunkan sebuah dewan terbuka untuk dimanfaatkan oleh penduduk Taman Jati Indah, Simpang Ampat, di sini dengan peruntukan sebanyak RM300 ribu.
Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin, dewan ini telah didirikan atas usaha yang dijalankan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Taboh Naning dengan kerjasama penduduk tempatan.
“Kerajaan akan terus membangunkan infrastruktur untuk kegunaan rakyat.
“Rakyat diminta untuk memanfaatkan dewan ini sebaik mungkin dan menjaga perpaduan dalam kalangan anggota komuniti masing-masing,” ujarnya dalam majlis perasmian dewan terbuka dan sambutan Hari Malaysia Peringkat DUN Taboh Naning, di sini semalam.
-ZS-