
Laporan/foto: Norlia Mili/Marianne Inya Thomas (Sarawak)
KUCHING, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Program Jelajah Fit Malaysia Peringkat Sarawak, di sini, semalam telah mendapat sambutan hangat apabila seramai lapan ribu orang telah mendaftar untuk menyertai pelbagai acara sukan dalam program tersebut, di sini semalam.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Sukan dan Belia) Datuk Gerald Rentap Jabu yang merasmikan program tersebut, berkata penganjuran program sukan seumpama itu dapat membudayakan sukan kepada masyarakat di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara mereka.
“Jika kita dapat membudayakan sukan dalam kehidupan, ia turut memberi kesihatan yang baik kerana badan yang cergas dan sihat akan mengurangkan kos perubatan,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah Nurmala Morslim, 40, berkata dia dan tiga anak telah tiba di perkarangan Kompleks Belia dan Sukan Sarawak seawal pukul 6.00 pagi walaupun hujan agak lebat.
“Ketiga-tiga anak saya tidak sabar-sabar untuk menyertai acara 3KM Family Walk,” ujarnya.
Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan ini tidak hanya menyasarkan belia tetapi juga semua peringkat umur agar masyarakat dapat membudayakan sukan sebagai salah satu cara hidup sihat.
-ZS-