
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)
TAIPING, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Program Jom Gerak Muhibah di Dataran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Jana, Kamunting di sini pada Sabtu mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada penduduk setempat.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, berkata program ini diadakan sempena sambutan Taiping Bandar Warisan yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Program ini menjadi penanda permulaan sejarah moden di Taiping. Terdapat banyak sejarah yang ada di bandar ini dan kita menghargai apa yang ada di sini supaya kelestarian khazanah yang bersejarah dapat dikekalkan sepanjang zaman,” ujarnya ketika berucap merasmikan majlis.
Tambahnya, program sebegini wajar diteruskan untuk memupuk semangat perpaduan yang terjalin antara masyarakat berbilang kaum bagi menunjukkan bahawa negara sememangnya kaya dengan adat dan budaya.
“Dalam masa sama, peninggalan sejarah yang ada perlu sentiasa dijaga dan dipelihara,” katanya.
-ZS-