
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengiktiraf Selangor sebagai juara dalam menyedia dan menyiapkan rumah mampu milik dalam negara.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pengiktirafan itu susulan Selangor berjaya membina 40,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun sejak 2018.
Katanya, tambahan 45,000 unit rumah mampu milik bakal disiapkan dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.
“Ini semua hasil pemantauan serta inisiatif yang dibuat oleh kerajan negeri semasa pandemik COVID-19 dengan memberi ruang projek Idaman dan Harapan supaya pemaju tidak melepaskan rumah mampu milik yang perlu disubsidi.
“Pada hari ini projek tersebut sedang berkembang selain Dasar Selangorku 3.0 yang membenarkan unit satu dan dua bilik untuk golongan bujang akan menjadi pelengkap kepada keseluruhan projek,” katanya.
Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata sasaran kerajaan negeri melonjakkan pembinaan sekurang-kurangnya 200,000 disediakan pada penggal ini (2023-2028) dengan pendekatan yang dilaksanakan.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Kunci Pangsapuri Seri Temenggung membabitkan 420 unit hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan Selangor Borhan Aman Shah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Datuk Mohd Yazid Sairi.
-ZS-