
Laporan/foto: Irina Abd Samad/Norfaizah Adnan
KUALA LUMPUR, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Polis Kuala Lumpur terus melaksanakan Operasi Hormat Undang-Undang (Op HUU) Jalan Raya di sekitar ibu negara bagi memberi kesedaran dan pendidikan kepada pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang yang sering dipandang ringan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi hormat undang-undang fasa ke-2 ini dilancarkan kembali pada 15 hingga 29 September 2023.
Setakat tujuh hari pertama operasi dijalankan, sebanyak 126 operasi melibatkan penguatkuasaan undang-undang pelbagai jenis kenderaan yang melanggar peraturan.
Sepanjang 126 operasi tersebut, sebanyak 36,432 saman telah dikeluarkan dan 59 orang telah ditahan dari pelbagai kesalahan trafik termasuk jenayah.
Antara kesalahan yang menerima jumlah saman yang tertinggi adalah halangan lalu lintas (27,755), lain-lain kesalahan (5,880) dan meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki (1,523).
“Pihak kami turut menyita 29 buah kenderaan yang melibatkan 27 buah motosikal dan dua buah lori. Kita juga kekalkan tiada diskaun ditawarkan untuk saman yang dikenakan.
“Kita mohon kerjasama kepada pengguna jalan raya agar dapat mematuhi peraturan jalan raya,” katanya ketika ditemui media, di sini hari ini.
Allaudeen berkata, operasi bersepadu ini dilaksanakan semula berikutan impak positif dalam kalangan pengguna terhadap kepatuhan peraturan jalan raya.
-ZS-