Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Simulasi Pilihan Raya beri Pemahaman Sistem Demokrasi Berparlimen kepada Pelajar

By 22 September 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hufaidatul Azfa Saffie (Kuala Selangor)

TANJONG KARANG, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Burong didedahkan dengan simulasi pilihan raya daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, di sini semalam.

Program berbentuk taklimat dan simulasi anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuala Selangor dengan kerjasama SPR dan sekolah ini memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah serta pemahaman mengenai demokrasi dan proses pilihan raya.

Ketua Program Pendidikan Pengundi Akademi Pilihan Raya SPR Mohd Rizan Md Drus, berkata pendidikan mengenai demokrasi dan pilihan raya perlu didedahkan sejak di awal usia supaya mereka lebih bersedia dan memahami proses itu.

“Pelajar-pelajar ini didedahkan dengan proses mengundi bermula daripada semakan nama, menanda jari dengan pewarna, menanda kertas undi dan membuang undi dalam kotak yang disediakan.

“Tatacara peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh mengundi juga turut didedahkan agar pelajar-pelajar ini dapat memahami proses sebenar pilihan raya,” katanya.

Sementara itu Pegawai Penerangan Daerah Kuala Selangor Hufaidatul Azfa Saffie, berkata Pejabat Penerangan Daerah Kuala Selangor akan turut melaksanakan program yang sama bagi memberi pendedahan kepada ahli Kelab Malaysiaku.

“Terdapat dua buah sekolah yang akan turut mengadakan program yang sama iaitu di SMK Puncak Alam 3, Jeram dan SMK Raja Muda Musa, Ijok.

“Tujuan penganjuran program juga adalah sama iaitu memberi pendedahan awal kepada pelajar-pelajar yang bakal menjadi pengundi dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran SMK Sungai Burong Haji Adnan Ibrahim dan Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku Fauziah Hanim Abd Ghafar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda