Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pelaburan Berjumlah RM37.4 Bilion dalam Sektor Digital (MDEC) – Fahmi

By 25 September 2023September 29th, 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zaidy Salim

PUTRAJAYA, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), melancarkan Malaysian Digital Expo (MDX) 2023 pagi ini, majlis telah dirasmikan oleh YB Fahmi Fadzil, bertempat di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Bertemakan ‘Jom berniaga. Melabur di Malaysia’, MDX 2023, akan mempamerkan inovasi dan teknologi terkini daripada syarikat tempatan dan global, bertujuan untuk menunjukkan kesediaan Malaysia dalam meneroka dan mengembang serta membawa ekosistem digital ke peringkat seterusnya sekaligus membuka pintu untuk perniagaan di rantau ASEAN. Ia akan berakhir pada 8 November 2023.

Malaysia memperoleh komitmen pelaburan berjumlah lebih RM37.4 bilion merentasi pelbagai sektor teknologi digital setakat Ogos 2023 yang bakal mewujudkan sekurang-kurangnya 15,895 peluang pekerjaan bernilai tinggi, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pencapaian luar biasa ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap rangka kerja Malaysia Digital (MD), inisiatif strategik negara untuk memacu ekonomi digital.

“Baru-baru ini saja, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China, yang mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan,” katanya semasa merasmikan Malaysia Digital Expo (MDX) 2023, di sini, hari ini.

MDX 2023 yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), merupakan inisiatif utama di bawah MD yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara digital utama di rantau ASEAN.

Bermula hari ini hingga 8 Nov, 2023, MDX 2023 akan menampilkan beberapa siri acara yang akan diadakan di seluruh negara, termasuk persidangan, bengkel, pameran dan sesi rangkaian, yang kemudiaannya diakhiri dengan majlis anugerah dan makan malam eksklusif MDX.

Acara itu dijangka menarik lebih 150,000 peserta dari seluruh dunia, termasuk pelabur, usahawan, pemula niaga teknologi, persatuan perdagangan, penggubal dasar dan profesional digital.

MDX 2023 disokong oleh beberapa acara sampingan seperti Malaysia Digital Content Festival 2023, Malaysia-Japan Digital Exchange, World Congress Information Technology on Innovation and Technology 2023, Malaysia Cloud and Datacenter Convention 2023 dan #mydigitalmaker Fair 2023 Finale.

Senarai acara MDX 2023 termasuklah Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Melaka Pintar (SMIX) 2023, Persidangan Kecerdasan Buatan Malaysia United Kingdom (UK) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor ke-7 2023.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda