Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Belanjawan 2024 Terima Reaksi Positif Pelbagai Lapisan Masyarakat di Sarawak

By 16 Oktober 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Marianne Inya Thomas/Lim Poh Choo (Sarawak)

KUCHING, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Jumaat lalu telah mendapat reaksi positif daripada pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak.

Menurut salah seorang penduduk tempatan di bahagian Sri Aman, Douglas Pasang, 57, peruntukkan berjumlah RM5.8 billion untuk pembangunan di Sarawak adalah relevan dan akan memberi manfaat kepada golongan sasar lebih-lebih lagi penduduk di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Jacinta Sharolyn Thomas, 47, seorang guru di bahagian Kota Samarahan ketika ditemui semalam berpendapat, Belanjawan 2024 lebih menjurus kepada ikhtiar kerajaan untuk membaik pulih prasarana kerajaan yang uzur selain meningkatkan bantuan kepada perniagaan-perniagaan kecil, terutamanya yang dijalankan oleh wanita dan belia.

Pengurus Besar akhbar Sin Chew Daily Sarawak dan Sabah, Chung Hon Shin, 53, pula berharap belanjawan kali ini dapat merancakan pembangunan sekaligus menambah baik status ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat secara amnya.

Tidak ketinggalan berkongsi pendapat berhubung Belanjawan 2024 ialah Loseyeffer Molly Bana, 40, penjawat awam di sini yang berasa bersyukur dan gembira ketika Perdana Menteri mengumum Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan menganggap ia adalah merupakan satu berita gembira buat semua penjawat awam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda