Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Bukit Teh Dipilih Kampung Siaga 221

By 23 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Halimah Abd Ghani/Mohd Zahari Zakaria (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Kampung Bukit Teh telah dipilih sebagai Kampung Siaga 221 yang pertama di Pulau Pinang.

Menurut Pengarah Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pulau Pinang, Kol. (PA) Ismail Mohd Radzi, Kampung Bukit Teh dipilih atas faktor kawasan ini merupakan kawasan panas banjir.

“Terdapat beberapa faktor pemilihan sesebuah kampung sebagai Kampung Siaga 221 antaranya seperti kawasan panas bencana dan Bukit Teh memenuhi kriteria tersebut,” katanya.

Tambah beliau lagi, Pulau Pinang akan menubuhkan sebanyak tujuh Kampung Siaga di seluruh negeri.

“Program Kampung Siaga ini antara lain bertujuan melatih komuniti bagi bersiap siaga menghadapi sebarang bencana terutamanya banjir yang seringkali berlaku.

“Konsep Kampung Siaga ini ialah dari komuniti kepada komuniti di mana komuniti sendiri bersedia menghadapi bencana,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan II, merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim yang hadir merasmikan program berharap penduduk Kampung Bukit Teh bukan sahaja mampu menghadapi bencana malahan sekali gus dapat mengurangkan kesan buruk bencana kepada penduduk.

Pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya pameran daripada jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan, Program Jualan Rahmah, sukaneka kanak-kanak, pertandingan mewarna, cabutan bertuah dan demonstrasi melepaskan lilitan ular sawa.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Machang Bubok Lee Khai Loon, Ketua Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah mewakili Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Sharliza Abd Wahab dan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Seberang Perai Tengah Kapt. (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda