Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

PEDi Tingkatkan Sosioekonomi Setempat – Wan Azizah

By 15 Oktober 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Rahimah Rafiai

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Sebanyak 911 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah diwujudkan di seluruh negara dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat dan memperkasakan komuniti ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing.

Daripadanya 21 PEDi terdapat di kawasan berkepadatan penduduk sekitar ibu kota bagi memupuk gaya hidup digital dalam kalangan masyarakat setempat khususnya golongan muda dan miskin bandar sekali gus mempertingkatkan ekonomi digital mereka.

“Besar harapan saya agar kewujudan PEDi menjadi pemangkin kepada kepesatan transformasi pendigitalan dan menjadikan penggunaan teknologi digital sebagai satu budaya dalam kalangan komuniti di seluruh negara dan di Parlimen Bandar Tun Razak sendiri.

“Saya ingin gesa masyarakat setempat terutamanya golongan muda yang membentuk 30 peratus daripada keseluruhan penduduk Bandar Tun Razak ini rebut peluang keemasan bagi mengikuti latihan dan program ditawarkan PEDi untuk mendalami ekonomi digital sekali gus menggunakannya untuk memajukan diri,” katanya.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Bersama Komuniti PEDi Bandar Tun Razak anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Perumahan Awam (PA) Seri Sabah 3A, di sini semalam.

PEDi PA Seri Sabah 3A merupakan satu-satunya PEDi di Bandar Tun Razak sejak penubuhannya pada tahun 2017.

-ZS-

Tinggalkan komen anda