
Laporan/foto: Mohd Hairie Izwan Awang (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Program Pelepasan Benih Ikan Serentak Seluruh Negara 2023 Peringkat Negeri Terengganu telah diadakan di Dataran Sungai Kampung Dusun, di sini pagi tadi.
Sebanyak 49,100 ekor ikan telah dilepaskan di Dataran Sungai Kampung Dusun melibatkan empat spesis iaitu kelah 100 ekor, baung 3,000, terbul 10,000 dan lampan sungai 36,000.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong Haji Zawawi Ismail program sebegini perlu diadakan dengan lebih kerap bagi memastikan populasi ikan sentiasa bertambah dan penduduk setempat terutama nelayan darat dapat menambah pendapatan mereka.
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu turut membuat penyerahan bantuan pukat kepada 22 orang nelayan darat daerah ini.
Seorang nelayan darat penerima bantuan pukat dari Kampung Dusun Ibrahim Mamat, 42, berkata bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu menambah pendapatan memandangkan kos harga barangan yang semakin melonjak termasuk pukat baharu.
“Anak-anak ikan yang dilepaskan hari ini mungkin saya tak dapat tangkap tapi ikan-ikan ini akan menjadi punca rezeki kepada anak-anak serta nelayan darat generasi akan datang,” katanya.
Program Pelepasan Benih Ikan Serentak Seluruh Negara 2023 anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan melibatkan agensi di bawah kementerian dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu.
-ZS-