Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

LUAS Kesan Sungai Selangor Keruh Disebabkan Hujan Lebat

By 13 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS

SHAH ALAM, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenal pasti punca kekeruhan Sungai Selangor melebihi 2,000 tingkat kekeruhan air (NTU) di muka sauk loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang semalam susulan hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin, memaklumkan tindakan pantas agensi itu berjaya mengelakkan gangguan operasi LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.

“LUAS telah segera mengambil tindakan untuk mengeluarkan (flushing) aliran kekeruhan tersebut keluar dengan cepat melepasi kawasan muka sauk LRA dengan pembukaan penuh pintu baraj.

“Siasatan juga di sepanjang Sungai Selangor telah mengenal pasti beberapa lokasi berpotensi menyumbang kepada aliran pelepasan dengan kadar kekeruhan yang tinggi pada jarak sekitar 17 hingga 19 kilometer dari muka sauk LRA Rantau Panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, LUAS telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi membantu melaksanakan pemantauan terhadap projek-projek pembangunan yang berkaitan di lokasi yang berpotensi.

“Pensampelan yang dilaksanakan LUAS di beberapa lokasi yang berpotensi ini akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa dan tindakan lanjut penguatkuasaan yang berkaitan di bawah Enakmen LUAS 1999.

“Bermula pukul 12 pagi tadi sehingga kini, bacaan kekeruhan Sungai Selangor di muka sauk LRA Rantau Panjang menunjukkan tren menurun dan telah dapat disegerakan kembali normal,” jelasnya.

Menurutnya, keadaan semasa Sungai Selangor adalah terkawal dan tiada risiko kepada operasi loji-loji rawatan air terlibat dilaporkan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda