Skip to main content
MA

Ekonomi Digital Negara Berkembang Pesat, Sumbang Lebih 23% KDNK Negara  

By 7 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
mdx front

Laporan/foto: Hisham Salleh/MDEC

KUALA LUMPUR, 6 Nov (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited dalam memperkukuh ekonomi digital negara, yang kini menyumbang 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Menurut beliau, transformasi digital adalah strategi utama untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang berjaya.

“Kita mengunjurkan angka ini akan melonjak kepada 25.5 peratus (daripada KDNK) menjelang 2025,” ujarnya semasa melancarkan Acara Kemuncak Malaysia Digital Expo 2023 (MDX 2023) di Kuala Lumpur, semalam.

Tambahnya, pada suku ketiga 2022 sahaja, ekonomi digital menjana US$15.7 bilion dalam pelaburan — sekali gus memperkukuh statusnya sebagai antara sektor yang paling pesat berkembang.

Beliau berkata, melalui inisiatif Malaysia Digital, usaha kerajaan akan ditumpukan terhadap sembilan sektor penting iaitu perdagangan, pertanian, perkhidmatan, bandar pintar, penjagaan kesihatan, kewangan, kandungan, pelancongan dan ekonomi digital Islam.

“Sektor yang digalakkan ini mempunyai potensi pertumbuhan besar, menawarkan banyak peluang serta penting dalam memacu peralihan Malaysia kepada ekonomi digital,”

Dalam masa yang sama, Kementerian Komunikasi dan Digital akan meneliti untuk menjadikan MDX 2023 sebagai acara tahunan, dalam usaha memperkasakan ekonomi digital di negara ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata, MDX berupaya menjadi daya tarikan bagi negara dari rantau Asia Tenggara, untuk membawa syarikat-syarikat mereka membuka pavilion pada ekspo berkenaan.

“Ia akan menjadikan Malaysia sebagai satu daripada destinasi bagi acara seperti ini di rantau Asia Tenggara. Ini adalah kali pertama kita mengusahakan program sebesar ini di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),”

MDX 2023 merupakan usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi digital negara, menerusi 18 acara sokongan yang telah dilaksanakan selama enam minggu, bermula pada 25 September 2023. Sepanjang tempoh itu, penganjuran MDX 2023 telah berjaya menarik penyertaan seramai 120,000 peserta dari seluruh negara.

Acara kemuncak MDX 2023 yang berlangsung selama tiga hari sehingga 8 November 2023, merangkumi pameran dan menampilkan barisan penceramah terkemuka dalam pelbagai industri yang akan berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing melalui siri persidangan dan sesi jaringan strategik.

-HS-

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda