
Laporan/foto: Rozaimi Herman Zakaria (Sepang)
DENGKIL, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan mengagihkan 60 bakul makanan kepada empat buah Kampung Orang Asli (KOA) yang terjejas ekoran bencana banjir yang berlaku ketika ini.
Kampung yang terjejas ialah KOA Sungai Melut, KOA Bukit Tampoi, KOA Kolam Air Bangkong dan KOA Batu 28, Jenderam Hilir yang melibatkan kira-kira 59 buah rumah KOA keseluruhannya.
Menurut Pegawai JAKOA Daerah (PKOAD) Sepang Mohamed Rasaki Abdul Majid, JAKOA Daerah Sepang akan sentiasa berhubung dan bertukar maklumat dengan pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBD) Daerah Sepang bagi memastikan situasi bencana banjir yang berlaku ini sentiasa di dalam kawalan dan makluman para penduduk kampung.
“Saya juga ingin mengingatkan semua penduduk agar sentiasa peka dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama bagi yang tinggal berhampiran dengan sungai, sekiranya hujan lebat dan paras air naik agar segera berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya di sini kelmarin.
Bantuan bakul makanan disampaikan oleh Ketua Unit Pembangunan Modal Insan dan Kebajikan JAKOA Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Fauziah Omar kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dan penduduk kampung yang terlibat.
-ZS-