Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Penglibatan Pemimpin Galak Masyarakat Dalami Ilmu Fardu Kifayah

By 27 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Prosa tradisional ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ cukup sesuai menggambarkan peri mustahaknya keterlibatan pemimpin dalam menerapkan kefahaman ilmu fardu kifayah kepada masyarakat.

Selain menjadi indikator kepada usaha mengukuhkan perpaduan, pemimpin masyarakat turut memainkan peranan bagi memastikan masyarakat tersedia dengan ilmu yang relevan bagi membangunkan sebuah komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Datuk Hamild Awang, berkata perkara pokok antaranya memastikan ilmu kifayah seperti pengurusan jenazah misalnya mampu dikuasai oleh sesebuah komuniti khasnya sesama Islam.

“Keterlibatan pemimpin masyarakat merupakan indikator penting dalam proses penyatuan dan kefahaman masyarakat tentang ilmu fardu kifayah ini.

“Ilmu pengurusan jenazah ini ditetapkan sebagai fardu kifayah, yang merupakan keharusan atas masyarakat Muslim yang perlu terus diterapkan kepada masyarakat bagi melengkapkan urusan kemasyarakatan dalam sesebuah kampung atau komuniti,” jelas beliau semasa merasmikan Kursus Pengurusan Jenazah di Masjid Al-Mutaqqin, di sini semalam.

Merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) Hamild turut menggesa agar para belia untuk mengambil ruang dan peluang yang disediakan di masa hadapan agar menyertai apa-apa kursus ilmiah seperti ini.

“Bengkel atau kursus pengurusan jenazah dapat menyatupadukan penduduk setempat dan dapat menyempurnakan tuntutan hidup bermasyarakat.

“Diharap program seumpama ini diteruskan di masjid dan surau dan diimarahkan dengan pelbagai aktiviti,” ujarnya.

Kursus disertai 36 peserta wanita dan kaum ibu daripada penduduk kampung dan komuniti setempat itu dianjurkan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Balung.

Turut hadir Pegawai Kemajuan Masyarakat Balung Mohammad Azhar Moktar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda