Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Pengunjung Teruja, Gembira Hadiri HPPNK 2023

By 14 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)

IPOH, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Beberapa pengunjung meluahkan rasa teruja dan gembira selepas menghadiri Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru yang melabuhkan tirainya pada Ahad lalu.

Seorang pengunjung Ahmad Sabri Awaluddin, 57, yang datang bersama rombongan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Klana, Lenggeng, Negeri Sembilan berasa seronok kerana sambutan yang diadakan untuk menghargai warga peladang, penternak dan nelayan ini mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.

“Sejak kali terakhir penganjurannya pada 2019, pastinya sambutan ini amat dinanti-nantikan dan nyata sambutannya cukup menggalakkan dengan pelbagai jualan dan pameran yang menceriakan menjadi pengisian program tiga hari ini.

“Saya juga gembira kerana dapat bertemu dan bertukar pengalaman serta idea bersama rakan peladang yang hadir dari segenap negeri ke program ini,” katanya ketika ditemui di sini, pada Ahad.

Ahmad Sabri juga berkongsi dia membeli sebatang anak pokok durian merah sebagai tanda kenangan.

“Sejujurnya saya amat berpuas hati dengan penganjuran program ini dan berharap ia dikekalkan kerana banyak manfaat yang diterima saya dan ahli rombongan,” tambahnya.

Sementara itu, Norhayati Abdul Majid, 70, dari Kuala Kangsar berpandangan program ini cukup bermakna kepada rakyat kerana turut membawakan jualan murah barang keperluan asas seperti beras bagi membantu rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat.

“Jualan Agro MADANI misalnya membantu orang ramai mendapatkan barangan dengan harga lebih murah dari pasaran.

“Selain itu, jualan produk pertanian, ternakan dan benih pokok juga antara yang menarik perhatian kerana boleh dibeli dengan harga yang berpatutan,” katanya gembira selepas dapat membawa pulang buah tangan berupa anak pokok kelapa yang diberikan secara percuma kepada pengunjung.

-ZS-

Tinggalkan komen anda