Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Rumah Warisan Gopeng Serlah Identiti Masyarakat Cina

By 30 November 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Kalaimani Munian/Muhammad Hariz (Kampar)

GOPENG, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Pengunjung yang datang ke Gopeng pastinya tertarik sekiranya melihat Rumah Warisan Gopeng yang terletak di deretan kedai lama dua tingkat, di tengah pekan ini.

Penyelia bangunan Kok Loy, 69, berkata seni bina beridentitikan masyarakat Cina semasa era perlombongan bijih timah selain pelbagai koleksi barangan antik yang berusia lebih seabad menjadi tarikan utama pengunjung ke sini.

“Rumah dua tingkat ini masih mengekalkan reka bentuk asal dan penuh dengan hiasan barang antik yang unik.

“Tingkat satu dipenuhi dengan koleksi jam, radio, basikal, peralatan muzik dan pinggan mangkuk seramik manakala di tingkat atas pula terdapat meja makan, bilik tidur dan ruang santai bersama keluarga,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Menariknya, terdapat ruang gunting rambut cara masyarakat Cina, bar mini serta peralatan untuk menghasilkan produk kicap dan minuman air soya secara tradisional.

Tambah Kok Loy, motif sebenar pemilik asal mewujudkan Rumah Warisan Gopeng ini adalah agar sejarah dan asal usul mereka tidak dilupakan terutama oleh generasi muda.

“Walaupun rumah ini diusahakan secara persendirian namun saya yakin matlamat untuk memacu ekopelancongan Gopeng seperti yang digariskan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 dapat direalisasikan,” ujarnya.

Rumah Warisan ini beroperasi setiap hari Selasa hingga Ahad (Isnin tutup) bermula pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang dan masuk adalah percuma.

-ZS-

Tinggalkan komen anda