Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Galeri Jadi Medium Promosi Lenggong Geopark

By 17 Disember 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Amizan Lokman/Senaying Ahud (Hulu Perak)

LENGGONG, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Sambutan ulang tahun kedua Festival Lenggong Geopark 2023 lebih bermakna dengan pembukaan Galeri Lenggong Geopark yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, di sini pada Jumaat.

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong Mohd Amzari Mohd Arzami, galeri ini mendapat sokongan kewangan sebanyak RM2.5 juta daripada Yayasan Al-Bukhari melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KETSA) yang kini dikenali sebagai NRES (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam).

“Sumbangan ini adalah bukti nyata komitmen kerajaan persekutuan terhadap perkembangan warisan geologi yang dilihat berperanan sebagai pusat sehenti serta medium promosi yang akan menjadikan Lenggong Geopark destinasi yang menarik dan bermakna kepada komuniti, pelancong dan penyelidik,” jelasnya.

Sementara itu, pengunjung Ahmad Badrul Al-Amin Ahmad Fauzi, 25, berasa gembira dengan pembukaan galeri yang dibina di daerah kelahirannya.

“Pastinya galeri ini akan menarik lebih ramai pelancong ke Lenggong seterusnya meningkatkan peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Adil Zaini Hamzah, 24, meluahkan rasa teruja dapat melihat pelbagai fakta sejarah dan kajian geologi yang terdapat di galeri ini.

“Saya berharap Lenggong Geopark dapat diangkat menjadi sebuah geopark bertaraf global dan dikenali di seluruh dunia,” katanya.

Turut berlangsung, pelancaran Persatuan Komuniti Lenggong Geoguide dan Persatuan Friends of Lenggong Geopark selain pelancaran lagu tema bertajuk ‘Kedamaian Lenggong’ nyanyian artis terkemuka, Amir Ukays sebagai platform promosi yang membawa pesona dan keunikan Lembah Lenggong kepada seluruh dunia.

Galeri ini akan beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma.

-ZS-

Tinggalkan komen anda