Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMAPutrajaya

Bukan Tuah ‘Harimau Malaya’

By 21 Januari 2024Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/Foto: Azad Khan/FAM

PUTRAJAYA, 21 Jan (MalaysiaAktif) – Malaysia tersingkir daripada kempen Piala Asia 2023 selepas tumpas 0-1 kepada Bahrain dalam perlawanan kedua Kumpulan E yang cukup dramatis di Stadium Jassim bin Hamad, malam tadi.

Jaringan tunggal penyerang Bahrain, Ali Madan pada penghujung permainan memusnahkan harapan Malaysia untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata dalam kempen kali ini.

Kekalahan ini merupakan yang kedua dicatat oleh pasukan negara selepas tewas kepada Jordan 0-4 pada Isnin lalu, dan akan bertemu juara dua kali Korea Selatan, Khamis ini bagi melengkap jadual saingan.

Dengan menggunakan formasi 5-4-1, sebanyak empat pertukaran dilakukan oleh Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon dalam skuad kesebelasan utama dengan harapan dapat memberi tentangan sengit kepada Bahrain, pertukaran tersebut melibatkan barisan pertahanan tengah Shahrul Saad dan Dominic Tan serta Syamer Kutty Abba di tengah dan Paulo Josue sebagai penyerang tunggal.

Sebaik sepak mula, Malaysia menunjukkan keyakinan yang tinggi mengawal permainan dengan melancarkan gerakan daripada kiri dan kanan padang. Harimau Malaya memiliki peluang terbaik untuk mendahului pada minit ke-16 menerusi gerakan Faisal Halim yang melorongkan bola ke Paulo Josue yang gagal menerima kemas hantaran tersebut sebelum bola muntah dirembat oleh Arif Aiman Hanapi tetapi penjaga gol Bahrain, Ebrahim Lutfalla berjaya menampan keluar cubaan tersebut.

Ancaman hebat terus diberikan oleh Harimau Malaya, kali ini sekali lagi menerusi Arif Aiman yang hanya sedikit lewat untuk menyambar hantaran lintang Paulo Josue pada minit ke-19, dan cubaan Matthew Davies pada minit ke-28 dari sebelah kiri gawang hanya sedikit melewati palang.

Kem negara panik seketika pada minit ke-31 apabila pemain tengah Bahrain, Komail Alaswad berjaya melepasi kawalan pertahanan negara dalam kotak penalti sebelum Dion Cools dan Dominic Tan berjaya mengawal asakan selepas penjaga gol negara Syihan Hazmi sudah tertewas.

Antara pemain yang benar-benar menyerlah untuk Harimau Malaya kali ini adalah pemain tengah, Stuart Wilkin, yang menampilkan aksi penuh keazaman sebagai pemain ‘box-to-box’ yang mengimbau kembali gaya permainan era emas bola sepak negara. Pada usia 25 tahun, beliau membuktikan kemampuan dan harus menjadi ‘regular’ di bahagian tengah Malaysia untuk perlawanan akan datang.

Bersambung babak kedua, skuad Dilmun’s Warriors tampil lebih garang selepas separuh masa pertama permainan banyak memihak kepada Malaysia, pada minit ke-56 Abdulla Yusuf melakukan tandukan hasil hantaran Komail Alaswad dalam kotak penalti sedikit melewati tiang.

Di penghujung permainan, perlawanan menjadi lebih mendebarkan apabila voli deras Matthew Davies dari kiri gawang yang menerima hantaran daripada pemain gantian, Akhyar Rashid melambung tinggi.

Sejurus selepas itu, skuad Bahrain yang dikemudi oleh Juan Antonio Pizzi itu gagal untuk menyudahkan peluang keemasan selepas gerakan satu dua Ali Madan berjaya di selamatkan oleh Syihan Hazmi.

Walaubagaimanapun, jelas nasib tidak berpihak kepada Harimau Malaya pada penghujung masa kecederaan apabila Bahrain berjaya merobek gawang negara menerusi rembatan luar kotak pemain tengah Ali Madan hasil dari sepakan sudut, yang hanya menyinggah di hujung jari Syihan Hazmi sebelum bola terus menerjah penjuru kanan gawang, sekali gus meranapkan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan 16 terbaik.

Menurut Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon, beliau mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas kekalahan Malaysia pada kempen Piala Asia kali ini.

“Kekalahan ini bukanlah salah sesiapa kecuali diri saya sendiri yang mempunyai jangkaan terlalu tinggi terhadap barisan pemain untuk cuba mencipta kejutan dan sejarah di sebalik realiti di atas kertas,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan Jordan mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik biarpun tidak bernasib baik untuk melakar kemenangan selepas seri 2-2 menentang Korea Selatan pada satu lagi aksi Kumpulan E di Stadium Al Thumama di Doha.

Pujian harus diberikan kepada skuad Harimau Malaya selepas mempamerkan corak permainan yang berani serta memberi saingan yang sengit kepada pasukan lawan. Ia merupakan sesuatu yang telah lama kita tidak lihat dalam DNA pasukan bola sepak negara, tambahan pula di peringkat tinggi seperti kempen Piala Asia. Pencapaian ini harus dibanggakan selepas 42 tahun kita tidak layak secara merit ke kejohanan berprestij ini.

-AK-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda