Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Lari Subuh Dulu Galak Solat Subuh Berjemaah

By 9 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Tawau Runner

TAWAU, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Acara Lari Subuh Dulu (LSD) berkonsepkan ibadah dan sukan ternyata menerima sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat di Tawau untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid atau surau.

Penyelaras program LSD Feby Arman Sharif, berkata idea itu diilhamkan oleh sahabat-sahabat ‘runner’ (penganjur) di semenanjung selain mengambil ilham daripada pempengaruh Alif Satar yang menggerakkan kempen Geng Subuh Macam Jumaat, baru-baru ini.

Menurutnya, ia bukan setakat mengikut trend semasa, tetapi percaya program tersebut mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat menerusi penganjuran aktiviti kecergasan yang menyihatkan.

“Syukur maklum balas sangat positif dengan penyertaan lebih 300 jemaah yang memenuhi ruang solat utama Surau Al-Firdaus, Kompleks Sukan Tawau (KST).

“Malah, ada dalam kalangan anak muda yang mengambil peluang beriktikaf di surau ini sebagai tanda sokongan kepada acara ini,” katanya ketika ditemui semasa program LDS di sini pada Ahad.

Lebih menarik acara yang julung kali diadakan ini memberi peluang kepada peserta untuk menamatkan larian mengikut kategori yang telah ditetapkan agar sesuai dengan kemampuan para jemaah.

“Kami berhasrat untuk mengembangkan acara ini dengan pemilihan lokasi atau masjid yang bersesuaian pada masa akan datang, acara dimulakan dengan solat subuh berjemaah kemudian diikuti acara berlari dengan jarak yang ditentukan.

“Larian membabitkan tiga kategori iaitu larian 15 kilometer iaitu lari dalam iman, enam kilometer untuk lari dalam taqwa dan tiga kilometer untuk kategori lari dalam sarung,” ujarnya.

#gengsubuhmacamjumaat

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda