Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Legasi Haji Ali Yahya Dominasi Tilawah Al-Quran Daerah Dungun

By 23 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Zulkifli Othman

DUNGUN, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Legasi guru al-Quran terkenal di daerah ini, Allahyarham Haji Ali Yahya mendominasi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Dungun 1445H/2024M di Dewan Seri Dahlia, Pusat Latihan Kerteh, Felda Kerteh, di sini malam tadi.

Enam daripada lapan peserta tilawah tersebut merupakan anak-anak kepada Allahyarham dan Mohamad Mustafa Ali serta Siti Nasuha Ali berjaya memenangi johan kategori qari serta qariah.

Kedua-dua mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000, sijil penyertaan dan piala iringan.

“Alhamdulillah, kemenangan ini amat bermakna dan ianya usaha yang berterusan tanpa jemu dengan galakan dan didikan daripada kedua ibu bapa saya sejak kecil.

“Allahyarham adalah seorang bapa yang tegas dan mahukan anak-anaknya menguasai bidang bacaan al-Quran kerana ianya amat penting untuk kehidupan di dunia dan akhirat,” ujar Mohamad Mustafa.

Johan Qariah Siti Nasuha Ali, berkata akan melakukan yang terbaik untuk mengharumkan daerah Dungun di peringkat negeri yang akan diadakan di Kuala Nerus pada 27 hingga 29 Februari nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Datuk Satiful Bahari Mamat, berkata majlis tilawah ini bukan sahaja untuk memilih qari dan qariah terbaik, tetapi boleh menguasai bahasa al-Quran secara keseluruhan.

“Selain itu, program ini juga bertujuan menanam kecintaan masyarakat kepada al-Quran dalam kalangan anak kecil sehingga ke peringkat dewasa untuk melahirkan generasi yang berilmu.

“Menjadi tradisi setiap tahun, daerah Dungun menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran bagi memilih qari dan qariah untuk mewakili daerah ini ke peringkat negeri,” ujarnya semasa ucapan perasmian.

Turut hadir Pegawai Daerah Dungun Yusman Ibrahim dan Pegawai Agama Daerah Dungun Ahadi Othman.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda