Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Taman Rekreasi Tampok Laut Berpotensi Menjadi Tarikan Pelancong

By 7 Januari 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/UTM Skudai

PONTIAN, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Taman Rekreasi Tampok Laut, Benut mempunyai potensi untuk dijadikan produk tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri ini berikutan kawasan tersebut mempunyai tali air yang cantik serta kemudahan-kemudahan yang lain.

“Pelbagai aktiviti pelancongan boleh dilakukan di Taman Rekreasi Tampok Laut seperti aktiviti kayak yang mampu menarik minat pelancong untuk melakukan aktiviti riadah di kawasan tersebut,” ujar Pegawai Daerah Pontian Haji Zainal Eran ketika merasmikan Karnival Komuniti Benut di Taman Rekreasi Tampok Laut, di sini pagi tadi.

Zainal juga memuji ahli masyarakat di sekitar kawasan tersebut yang sentiasa peka dalam menjaga kebersihan di taman rekreasi tersebut agar keindahannya sentiasa terpelihara dan mampu menarik pengunjung.

“Selain itu juga, kerjasama di antara Pejabat Daerah Pontian dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dalam membangunkan pelan pembangunan ekopelancongan di kawasan Tampok Laut adalah amat dialu-alukan demi merealisasikan kawasan tersebut sebagai produk pelancongan terbaru di daerah Pontian,” katanya.

Karnival Komuniti Benut merupakan anjuran bersama Pejabat Daerah Pontian dan Universiti Teknologi Malaysia Skudai dan berlangsung selama sehari turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti  aktiviti kayak, bengkel asas gamelan, bengkel memanah, larian ceria dan lain-lain lagi turut disertai lebih 600 mahasiswa serta mahasiswi UTM.

-ZS-

Tinggalkan komen anda