Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita Tempatan

Calon SPM SMK Rancha-Rancha Terima Suntikan Semangat Pengarah Pendidikan Labuan

By 7 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Jabatan Pendidikan Labuan

LABUAN, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Calon–calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha menerima suntikan semangat dan motivasi daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Abidin Marjan semasa kunjungan mesra beliau di sekolah itu pagi tadi.

Pada kunjungan itu, Abidin memberi kata-kata semangat dan motivasi ringkas kepada semua calon agar tidak gementar menghadapi apa jua soalan.

”Lapangkan hati dan jawab dengan tenang kerana saya yakin calon–calon telah cukup bersedia selain persediaan rapi oleh pihak sekolah adalah salah satu petanda positif bahawa calon-calon SPM sekolah ini boleh memperolehi Keputusan cemerlang kelak,” katanya semasa berucap di hadapan para calon SPM.

Beliau turut merasa gembira kerana dapat bertemu guru-guru yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan dengan penuh komitmen kepada calon-calon SPM.

”Santunilah anak-anak bangsa kita dengan penuh semangat kerana merekalah yang bakal meneraju masa depan, berjaya mereka maka berjayalah kita sebagai guru dalam mendidik, kejayaan murid adalah kejayaan gurunya.

”Kekuatan dan semangat kental guru-guru dalam mendidik anak bangsa adalah tunjang utama dalam melahirkan generasi yang berjaya di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Rancha-Rancha Wan Azman Wan Awang merakamkan ucapan terima kasih atas kunjungan mesra itu dan turut sama berpesan kepada semua calon agar mengambil aura positif Pengarah Pendidikan sebagai satu rangsangan semangat menghadapi SPM.

“Semua calon perlu menjaga kesihatan fizikal, mental dan emosi agar terus tenang sepanjang peperiksaan berlangsung selain sentiasa memperbanyakkan solat dan doa untuk menunjukkan sifat tawakal serta memohon pertolongan daripadanya-Nya,” katanya lagi.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Muhammad Pindut, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pentaksiran dan Penilaian Murni Jafar, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Sawal Salleh serta Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Zaleha Salleh.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda