Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Golongan OKU, Autistik Berpeluang Belajar di Politeknik

By 7 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/PSA

SHAH ALAM, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Ts Dr Ahmad Aftas Azman, berkata pendidikan seharusnya tidak hanya terbatas kepada mereka yang sempurna tetapi turut meliputi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Menurutnya, politeknik sebagai sebuah institusi penyedia pendidikan tinggi amat optimis dalam memberikan peluang pendidikan kepada golongan berkenaan seiring dengan Halatuju Transformasi Politeknik 2023-2030.

“Akses bagi kemasukan ke politeknik untuk manfaat setiap lapisan menyambung pengajian sekali gus meningkatkan sosio ekonomi masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program ‘International Collaboration on Corporate Social Responsibility’ antara PSA, Universitas Pamulang (UNPAM), Indonesia dan ‘Autism Cafe Project Malaysia’ (ACP) yang diadakan di Dewan Al Jazari, di sini kelmarin.

Katanya, PSA memberi peluang kepada pelajar-pelajar OKU dan autistik, malah di antaranya turut mengambil Sijil Tahfiz Al-Quran JAKIM-Politeknik yang ditawarkan di PSA.

“Ini membuktikan golongan ini mampu melangkah lebih jauh sekiranya diberi peluang dan dibimbing dengan betul,” jelasnya.

Program International Collaboration on Corporate Social Responsibility menampilkan remaja autisme dari ACP yang berkebolehan memasak serta turut dibantu oleh para pelajar dan pensyarah PSA dan UNPAM.

Hasil juadah yang disediakan kemudiannya diserahkan kepada 40 orang wakil pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40.

Turut hadir Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA Ts Mohd Firdauz Mhd Radzi, Rektor UNPAM Dr H.E Nurzaman, Pengarah Pasca Siswazah UNPAM Dr Ir H. Sarwani dan Ketua Jabatan Perdagangan PSA Natasya Mariz Mohamed.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda