Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Cili fertigasi Jana Pendapatan Pesara

By 1 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fauziah Abdul Wahab/Nurhidayah Mohamad Zaher (Yan)

YAN, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Bermula hanya dengan sekadar mengisi masa terluang, seorang pesara tidak menyangka penanaman cili fertigasi ini mampu memberi pulangan yang lumayan.

Mohsin Shaib, 63, dari Kampung Simpang Tiga Sedaka, yang selesa dipanggil Cikgu ini mula melibatkan diri dengan penanaman cili fertigasi ini pada September 2022 dengan modal permulaan sebanyak RM15 ribu untuk mengatur kelengkapan termasuk membeli seribu anak benih semaian pokok cili.

“Menggunakan penanaman secara fertigasi, saya tidak memerlukan kawasan yang luas dan hanya menggunakan halaman rumah.

“Di samping itu saya juga tidak perlu membanting tulang membajak tanah merumput dan sebagainya,” katanya di sini semalam.

Katanya lagi, beliau akan menggantikan pokok lama dengan benih baru menggunakan beg semaian yang sama.

“Sistem pengaliran air secara moden sangat menjimatkan tenaga kerja.

“Saya hanya perlu memasang alat jangka masa di tangki bekalan di mana ia akan membekalkan air dan baja secara automatik mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Mohsin, beliau memilih untuk menanam cili kerana mudah dijaga dan penggunaan kaedah moden tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Setiap hari saya akan  melihat dan memeriksa pokok cili,” katanya.

Beliau turut mendedahkan yang penanaman cili fertigasi ini hanya memerlukan 65 hari sahaja untuk menuai hasil.

“Hanya dengan tuaian pertama sahaja, saya mampu mendapatkan kembali modal yang telah dikeluarkan dan ini memberikan saya semangat untuk lebih serius dalam bidang ni,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda