Laporan/foto: Ku Nurul Sham Ku Isa (Padang Terap)
KUALA NERANG, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Aspek keterjaminan makanan merupakan salah satu fokus utama kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat di negara kita.
Sehubungan dengan itu, FELCRA Berhad melalui anak syarikatnya FELCRA Niaga Sdn. Bhd. dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah turun sendiri ke Kampung Masjid Lama, Naka bagi membantu pesawah dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi mereka.
Pengurus Besar FELCRA Niaga Sdn. Bhd. Huzairy Khamis dalam ucapanya, berkata program hari ini adalah salah satu daripada siri jelajah mereka dalam usaha membantu kerajaan menjaga aspek keterjaminan makanan negara.
“FELCRA dan FELCRA Niaga bersedia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan pesawah, petani serta peladang agar negara mendapat manfaat langsung sekiranya hasil pertanian dan pengeluaran padi dapat ditingkatkan oleh petani dan pesawah,” katanya.
Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kedah, Azizul Lebai Ishak, menyatakan keterbukaan pihak LPP yang bersedia menerima kerjasama daripada pihak Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dalam membantu pesawah.
“LPP dan Pertubuhan Peladang Kawasan sentiasa memikirkan untuk membantu pesawah meningkatkan hasil.
“Kehadiran FELCRA Niaga Sdn Bhd yang sudi berkongsi ilmu berkaitan teknik penggunaan baja dan racun perosak yang betul dapat membantu lagi pesawah mengamalkan kaedah yang baik dalam menggandakan hasil pengeluaran padi,” katanya yang turut berucap dan merasmikan Program Farmer Field Day di Kampung Masjid Lama, Naka, di sini hari ini.
Nazri Mohamad, 51, antara pengunjung yang hadir merasakan inisiatif FELCRA memperkenalkan baja dan racun perosak keluaran FELCRA sendiri memberi lebih banyak pilihan kepada pesawah dan ianya mungkin boleh memberi hasil yang lebih baik.
-ZS-