Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Istiadat Penghormatan Negeri Tun Taib Berlangsung dalam Suasana Penuh Hiba

By 22 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Marianne Inya Thomas/Lim Poh Choo (Sarawak)

KUCHING 22 Februari (Malaysiaaktif) – Istiadat Penghormatan Negeri mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah berlangsung dalam suasana yang penuh hiba, hari ini.

Istiadat di Atrium Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu berlangsung dari pukul 8.00 hingga 11.30 pagi tadi telah membolehkan orang awam, dif-dif kenamaan dan ahli kabinet yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Dianggarkan kira-kira 5,000 orang telah hadir sepanjang istiadat tersebut berlangsung dan sejurus selepas itu, solat jenazah telah diadakan di Masjid Demak disusuli Istiadat Pengebumian Negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Semalam, jenazah Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) kira-kira pukul 4.25 petang dengan menggunakan pesawat khas Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Charlie 130.

Ketibaan jenazah Allahyarham telah disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu DiRaja beserta 17 das tembakan meriam di Pangkalan Udara TUDM, menandakan pengistiharan kemangkatan.

Sejurus selepas itu, jenazah telah dibawa ke kediaman Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini.

Terdahulu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam satu sidang media mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak mengisytiharkan perkabungan selama dua hari mulai 21 dan 22 Februari ini sebagai menghormati pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda