
Laporan/foto: Mahyudin Abd Rani (Seberang Perai Selatan)
SUNGAI UDANG, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Kuala Haji Ibrahim di Kampung Sungai Udang kini berubah wajah dan bakal menjadi daya tarikan serta tumpuan orang ramai.
Dengan bayaran serendah RM5.00, pengunjung boleh menaiki bot menyusuri muara sungai sambal menikmati panorama indah alam semula jadi paya bakau.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk melakukan aktiviti menangkap ikan dan udang.
Menurut Pegawai Seranta KADUN Sungai Acheh Azhar Ahmad, usaha ini berjaya direalisasikan hasil komitmen tinggi Pegawai Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh.
“Langkah yang dilakukan ini memberi manfaat baik kepada masyarakat setempat dan ianya mampu meningkatkan taraf hidup dengan mencipta peluang menjana pendapatan.
“Usaha menaik taraf kawasan ini mendapat maklum balas yang memberangsangkan dan pihak terlibat akan meneliti lokasi lain yang berpotensi untuk dibangunkan dan memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.
Salah seorang penduduk kampung, Abdul Malik Razak, 52, berkata usaha yang telah dilakukan ini membuka peluang pekerjaan di samping dapat menjana pendapatan penduduk setempat.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang Sabri Said yang turut memuji usaha yang dilakukan kerana mampu memberi impak yang positif dalam membangunkan kawasan yang berpotensi tinggi.
-ZS-