Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kutipan Cukai MPBP Bantu 240 Golongan Miskin di Batu Pahat

By 5 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mazlin Basir/Majlis Perbandaran Batu Pahat (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Satu peratus dana Yayasan Makmur Batu Pahat daripada hasil kutipan cukai Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) digunakan untuk membantu 240 orang penerima miskin tegar dan miskin dalam kawasan Batu Pahat, Sri Gading dan Parit Sulong, di sini kelmarin.

Pengerusi Yayasan Makmur Batu Pahat Zulkurnain Kamisan, berkata peruntukan sumbangan ini adalah dari masyarakat perbandaran khususnya yang telah melunaskan bayaran cukai pintu, lesen, sewaan dan sebagainya di bawah Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).

“Maka pada hari ini hasil tersebut telah disumbangkan dan dikembalikan semula kepada masyarakat dan diharapkan dapat menceriakan kesemua penerima dalam kemeriahan menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Tahun Baru Cina 2024 di Dewan Jubli Intan Batu Pahat.

Salah seorang penerima, Hwang Shiow Hwa@Ng Chiow Hwa, 80, berkata beliau sangat gembira dengan pemberian sumbangan yang diberikan.

“Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini sangat bermakna kerana golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti saya mendapat perhatian oleh Yayasan Makmur Batu Pahat,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Yayasan Makmur Batu Pahat Ezahar Abu Sairin dan Ketua WHIP MCA Majlis Perbandaran Batu Pahat Ter Hwa Kwong.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda