Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Piala Ketua Menteri Medan Cungkil Bakat Baru Wakili Melaka

By 5 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)

MASJID TANAH, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Pertandingan bola sepak Piala Ketua Menteri Melaka telah diadakan bertujuan untuk menjadi medan mencari bakat baharu bagi sukan ini pada masa hadapan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Melaka yang juga merupakan penyelaras pertandingan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, kejohanan ini melibatkan semua sekolah di bawah Parlimen Masjid Tanah.

“Kerajaan negeri berharap semua murid melibatkan diri dengan aktiviti sukan yang sihat untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang di dalam bilik darjah malahan juga berjaya di dalam bidang kokurikulum.

“Melalui platform pertandingan ini, para pelajar dapat merasakan sendiri cabaran bermain mewakili sekolah masing-masing dan bakat baru untuk mewakili negeri ini di peringkat kebangsaan dapat dicungkil,” ujarnya di sini semalam.

Sebanyak 33 buah sekolah seluruh Parlimen Masjid Tanah telah menyertai pertandingan tersebut.

Johan bagi pertandingan bola sepak bawah 16 tahun telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba manakala untuk kategori bawah 11 tahun telah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Datuk Tambychik Karim serta pemenang kategori bawah 14 tahun telah dirangkul oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat.

Hadiah-hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Ibrahim Durum mewakili Ketua Menteri.

Turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dan pemimpin setempat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda