Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah/Rosli Md Zin
BACHOK, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Penduduk di sekitar daerah Bachok tidak melepaskan peluang membeli-belah di Kedai Wani Ikan Segar Pauh Sembilan Kubur Kamar, Beris yang tular menawarkan jualan bahan basah segar seperti makanan laut, ayam dan sayur-sayuran pada harga promosi yang amat berpatutan.
Menurut pemilik kedai Norhazwani Mohd Aizilan, 29, mereka telah beroperasi sejak tahun 2019 dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan laut serta ayam dan sayur-sayuran pada harga mampu milik bagi tujuan membantu penduduk pelbagai lapisan masyarakat di daerah ini.
“Kami menawarkan barang jualan dengan harga yang murah, segar dan meriah bagi semua lapisan masyarakat tidak kira berpendapatan rendah atau tinggi kerana tujuan utama kami adalah membantu penduduk sekitar dan kami teruja apabila menerima sambutan yang menggalakkan dari masyarakat,” jelasnya semalam.
Promosi jualan giat dilakukan di media sosial bagi tujuan pegumuman harga terkini setiap barangan yang dijual bagi memudahkan pembeli merancang perbelanjaan mereka sebelum membeli.
Pelanggan tetap, Haji Kamal Yusof, 66, berkata beliau datang ke kedai ini setiap minggu untuk memborong ikan segar berikutan tawaran harga yang diberikan jauh berbeza dengan kedai-kedai lain.
“Selain ikan yang dijual segar serta harga jualan yang murah, penjual yang ramah juga adalah sebab saya kerap kembali membeli di sini.” katanya.
Kedai Wani Ikan Segar Pauh Sembilan Kubur Kamar, Beris beroperasi setiap hari bermula pukul 7.00 pagi hingga 4.00 petang.
-ZS-