Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (LMS)/KEMAS LMS
CHANGKAT JERING, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 34 pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping menyertai Program Anak Angkat bersempena Program Jom Masuk Kampung anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Perak.
Menurut Pegawai KEMAS Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) Saiful Nizam Mahmod, program yang berlangsung selama dua hari ini turut melibatkan 20 buah keluarga angkat.
“Keluarga yang dipilih terdiri daripada penduduk tempatan serta diuruskan oleh KEMAS LMS.
“Maklum balas yang diterima, mereka amat teruja menerima anak angkat kerana sudah lama tidak diadakan program khidmat komuniti seperti ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Anak Angkat ADTEC di Perkarangan Masjid Kampung Ayer Kuning, di sini kelmarin.
Tambahnya, dia turut berharap usaha ini dapat mengurangkan sedikit rasa rindu pelajar terhadap keluarga mereka pada bulan Ramadan.
“Tempoh dua hari bersama keluarga angkat diharapkan dapat mengeratkan silaturahim selain menimba pengalaman baru bersama komuniti setempat,” katanya.
Hadir merasmikan majlis Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.
Turut hadir Pengarah KEMAS Perak Taufik Mohd Yusop dan Penolong Pengarah Unit Pembangunan Komuniti dan Kemahiran Al-Firdaus Muhamad.
-ZS-