Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Daerah Bachok Bakal Sifar Miskin Tegar Menjelang 2025

By 4 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto: Rosli Md Zin/Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini 
BACHOK, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Menjelang Disember 2024, daerah Bachok yang merupakan salah sebuah jajahan di Negeri Kelantan bakal berjaya mensifarkan miskin tegar membabitkan seramai 7,700 Ketua Isi Rumah (KIR).
Menurut Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan, Tuan Haji Jasri Kasim, daripada jumlah berikut seramai 870 Ketua Isi Rumah adalah terdiri daripada golongan miskin tegar.
Secara umumnya miskin tegar di negeri Kelantan telah mencatatkan penurunan yang ketara iaitu daripada 12,000 orang kepada 5,473 orang.
Sasaran sifar miskin tegar di daerah Bachok dijangka dicapai pada penghujung Disember menerusi pelbagai inisiatif yang digerakkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri bersama agensi dan ketua masyarakat.
Tambahnya, satu bengkel khas bersama Pejabat Tanah Daerah Bachok, Tok Penggawa serta Jabatan di daerah Bachok telah diwujudkan dalam usaha menoktah kemiskinan tegar di negeri ini.
“Melalui bengkel khas ini pelbagai perkhidmatan kerajaan telah dibawa dan dikumpulkan bagi menyantuni keperluan keluarga miskin, miskin tegar dan masyarakat setempat,” katanya.
Pelbagai inisiatif dilaksanakan seperti Kayuhan Ziarah Kasih yang melibatkan ketua-ketua jabatan persekutuan dan daerah, aktiviti tukar minyak hitam percuma, Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Pemeriksaan kesihatan, klinik pergigian bergerak, Kaunter PERKESO, Kaunter pengambilan sukarelawan APM, RELA, GIATMARA, dan Kaunter Pendaftaran Pengkalan Data Utama (PADU).
Menurut Noor Azlina Wan Hassan, 42, bantuan eKasih dapat membantu meringankan beban dan meneruskan kelangsungan hidup seharian beliau.
“Saya mendapat panggilan daripada penganjur program bahawa saya merupakan salah seorang penerima bantuan eKasih. Saya berharap lebih ramai lagi golongan miskin tegar yang senasib dengan saya dapat menerima manfaat sama,” jelasnya.
Turut hadir Ketua Jajahan Pejabat Tanah Daerah Bachok, Haji Shamsul Abu Bakar dan Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dan ketua-ketua jabatan persekutuan dan daerah di Bachok.
-ZS-

Tinggalkan komen anda