Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

‘MAINJ Kan Ada’ Semarakkan Budaya Membantu Mereka yang Memerlukan

By 6 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nasharuddin Mohd. Shah/Ashikin Mustafa

KOTA TINGGI, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Program ‘MAINJ Kan Ada’ mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk di Felda Air Tawar 3, di sini hari ini apabila dihadiri oleh pelbagai lapisan usia.

Program dengan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, santuni pewakaf, ziarah kasih, kaunter bergerak MAINJ dan penyampaian sumbangan itu merupakan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Ia bertujuan mendekatkan mereka yang memerlukan bantuan untuk dibantu oleh pihak MAINJ dengan pendekatan ‘MAINJ Kan Ada’ selain memberi pendedahan, pengetahuan, maklumat serta mempromosikan MAINJ dilaksanakan dengan kerjasama komuniti penduduk setempat bersama pihak MAINJ,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Haji Nasri Md. Ali ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Menurut Nasri, MAINJ merupakan agensi yang memainkan peranan, membantu dan mengurus bantuan asnaf dan zakat kepada yang memerlukan selain membangunkan potensi masyarakat dalam bidang perniagaan dan sebagainya melalui bantuan baitulmal dan membantu permasalahan masyarakat dengan bantuan yang disediakan.

Salah seorang penerima Halijah Hassan, 42, telah menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak yang terlibat di atas bantuan yang diberikan ini.

“Saya sangat menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak MAINJ.

“Alhamdulillah dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban, khususnya dalam persediaan awal persekolahan.

Program diserikan dengan penyampaian kepada hampir 100 penerima dapur asnaf yang berupa barangan dapur.

Seramai 73 anak yatim menerima alat tulis serta sumbangan turut diberikan kepada pertubuhan, pengusaha, masjid, surau dan sekolah.

Turut hadir Amin Baitulmal Kota Tinggi Luqmanul Hakim Ab. Rahman, Pengurus Felda Air Tawar 3 Mohd Johari Abdul Rashid, Ketua Kampung Felda Air Tawar 3 Ibrahim Ismail dan pemimpin setempat.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda