Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Shaik Mohd Fikri Shaik Ismail (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Ramadan adalah bulan yang paling ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia dan penuh dengan keberkatan kerana setiap amal orang mukmin, Allah SWT akan melipatgandakan pahalanya.
Selain kewajipan berpuasa, antara amalan lain yang dianjurkan adalah bersedekah.
Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (Muszleem Malaysia) tidak melepaskan peluang merebut keberkatan di bulan mulia ini dengan mengagihkan 100 kotak infak kepada golongan asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, pesakit kronik dan golongan isi rumah berpendapatan rendah di Kampung Gong Kijang, di sini semalam.
Penyelaras Muszleem Malaysia Kuala Nerus Mohd Ridhuan Embong, berkata program ini merupakan aktiviti tahunan Muszleem Malaysia bagi membantu golongan kurang bernasib baik tanpa mengira latar belakang bagi menyambut Ramadan.
“Saya percaya walaupun sumbangan ini kecil namun amat bermakna buat penerima dan mampu membawa kegembiraan buat mereka untuk dikongsi bersama keluarga.
“Pengagihkan kotak infak ini adalah hasil daripada sumbangan orang ramai yang menderma kepada pihak Muszleem Malaysia dan kepada orang ramai yang berminat untuk menghulurkan sumbangan boleh terus menyalurkan ke akaun Maybank Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia 5630 4632 5663,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan kotak infak kepada penerima.
Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Gong Kijang Mohd Sukri Nawi, turut meluahkan rasa syukur atas keprihatinan Muszleem Malaysia dalam menyantuni golongan asnaf dan sangat berbesar hati menerima sumbangan tersebut.
“Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban dalam membuat persiapan Ramadan dan sedikit sebanyak menceriakan puasa mereka,” katanya
Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan kotak infak Awie Idris, 65, berkata beliau sangat terharu dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana terpilih untuk menerima sumbangan berkenaan.
“Ramadan kali ni terasa sedikit mencabar berbanding tahun-tahun sebelum ni di mana harga makanan sedikit mahal berbanding kebiasaan dan pemberian kotak infak ini dapat meringankan beban kami sekeluarga,” ujarnya.
-ZS-