Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Muzium Geologi Sarawak Tawar Pengalaman Eksplorasi Mineral dan Geosains

By 1 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Munir (Sarawak)

KUCHING, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Muzium geologi yang berkaitan dan mempamerkan batuan atau mineral amatlah jarang untuk kita temui.

Namun di Sarawak, keberadaan Muzium Geologi Sarawak yang merupakan sebahagian daripada kompleks pejabat  Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sarawak merupakan gedung ilmu  penting bagi  pusat pembelajaran dan pendidikan di dalam bidang geologi dan geosains.

Terletak di Jalan Kenyalang Park di sini, ia mula beroperasi pada sekitar tahun 2008 dan kemasukan adalah percuma serta dibuka kepada orang awam.

Menariknya, Muzium Geologi Sarawak mengumpulkan pelbagai koleksi unik jenis fosil batuan dan mineral dari dalam dan luar negara.

Menurut salah seorang pengunjung yang sempat ditemu ramah, Izawati Eni, 42, muzium ini merupakan muzium paling unik pernah beliau lawati.

“Di Muzium Geologi Sarawak, anda boleh melihat secara dekat batuan mineral unik yang penemuannya belum lagi dijumpai di mana-mana di dunia.

“Sebagai anak Sarawak ianya suatu kemestian untuk datang mempelajari ilmu geologi dan mineral lebih-lebih lagi mengenai hasil bumi Sarawak,” ujarnya semalam.

Selain itu, menurut Arfan Julaihi, 46, selepas mengadakan lawatan ke muzium tersebut, pandangan beliau terhadap objek batuan tidak lagi sama seperti sebelumnya.

“Pada asalnya saya berpandangan dan melihat semua bentuk batu adalah sama, tiada fungsi yang begitu penting, namun setelah diberi penerangan kini saya menyedari bahawa setiap batuan mineral mempunyai manfaat-manfaat tertentu terutamanya dalam aspek aplikasi kehidupan seharian dan kesejahteraan sejagat,” ujarnya.

Menurut Juraini Ahmad Sobri, 42, pula pelbagai ilmu baharu diperolehi selepas mengadakan lawatan ke muzium.

“Saya teruja kerana mendapat pengalaman berharga iaitu ilmu-ilmu baharu selepas diberi penerangan mengenai jenis-jenis mineral batuan permata, kaedah perlombongan emas selain mengetahui pelbagai manfaat batuan kepada umum,” katanya.

Muzium Geologi Sarawak menawarkan pengalaman melihat sendiri model dan ilustrasi grafik 3-D berkenaan sumbangan geologi kepada pembinaan infrastruktur utama, pembangunan sumber air tanah dan promosi warisan geologi seperti geotapak bertaraf warisan kebangsaan dan antarabangsa.

Ia juga turut mempamerkan objek warisan geologi bernilai tinggi iaitu Amber Merit Pila yang diperolehi dan telah dikeluarkan daripada lombong arang batu di kawasan Merit, Pila yang terletak di Bahagian Kapit, Sarawak dan dipercayai sebagai objek amber terbesar di dunia.

Orang awam yang berminat menerokai dan mempelajari dengan lebih lanjut ilmu geologi adalah dialu-alukan untuk melawat muzium tersebut.

Waktu operasi muzium geologi ini adalah pada waktu pejabat dan ditutup pada Sabtu, Ahad dan Hari Kelepasan Am.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda