Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahJohor

Program Mobile KWSP Memudahkan Urusan Pencarum di Kota Tinggi

By 11 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nasharuddin Mohd. Shah/Ashikin Mustafa

KOTA TINGGI, 11 Mac (MalaysiaAktif) – Program Mobile Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan kaedah van bergerak memudahkan urusan penduduk tanpa perlu hadir ke Pejabat KWSP Johor Bahru.

Mobile KWSP yang diadakan secara bergerak setiap hari Isnin di perkarangan Bangunan Sultan Iskandar Kota Tinggi memudahkan urusan pencarum membuat semakan.

Menurut Pegawai Pengurus, Sharizman Md Foad, antara perkhidmatan yang disediakan adalah pendaftaran ahli KWSP, caruman sukarela, semakan penyata, semakan dan pendaftaran penamaan, pindaan alamat dan nombor telefon, pengeluaran wang caruman serta banyak lagi.

“Kami membantu semua individu untuk mendaftar melalui caruman sukarela dan kini dalam perancangan menarik golongan usia bermula 14 tahun ke atas bagi tujuan pembukaan akaun. Ini dilihat sebagai satu ‘trend’ terkini dalam kalangan generasi muda yang berminat bekerja sendiri berbanding makan gaji,” ujarnya lagi ketika ditemui.

Beliau turut menyeru penjawat awam untuk mencarum di bawah program i-Saraan.

Seorang pengunjung, Muhammad Zaki Adon @ Mohd Don, 38, yang ditemui menyatakan rasa gembira kerana kaunter ini memudahkan beliau untuk membuat semakan dengan tetap mengikut jadual yang disediakan selain memudahkan beliau datang kerana tidak perlu ke Johor Bahru untuk berurusan.

Seramai tiga anggota KWSP menjalankan tugas sepanjang kaunter bergerak ini dibuka, termasuk memberi khidmat nasihat. Mobile KWSP ini dilengkapi dengan kemudahan kaunter pertanyaan dan komputer.

-ZS-

Tinggalkan komen anda