Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Sektor Korporat, NGO Diseru Terlibat CSR Bantu Pelajar

By 17 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Haziq Ruslain (Labuan)

LABUAN, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang berkemampuan diseru turut serta dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu meningkatkan kesejahteraan para pelajar.

Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek, bantuan kepada pelajar amat penting kerana mereka merupakan bakal generasi masa hadapan.

“Sumbangan atau bantuan tidak terhad kepada bentuk kewangan atau material malah jika dapat meluangkan sedikit masa, tenaga serta sokongan secara mental mahupun spiritual mampu menjana perubahan sekali gus membawa seribu makna kepada para pelajar yang memerlukan,” katanya semasa berucap pada Program Sahabat 50WP : Back To School Wilayah Persekutuan Peringkat Labuan, di sini petang semalam.

Pada program itu, beliau menyampaikan bantuan sebanyak RM100 seorang kepada pelajar terpilih melalui peruntukan pemberian khas Wilayah Persekutuan yang memanfaatkan 500 orang pelajar yang kurang berkemampuan.

“Program ini turut melibatkan Yayasan Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) yang turut memberikan sumbangan wang tunai sebanyak RM25 ribu sebagai tambahan kepada 250 orang pelajar lagi.

“Saya percaya dengan adanya bantuan ini diharapkan digunakan bagi perbelanjaan persekolahan yang baharu bermula pada 11 Mac lalu,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda