Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sungai Langat Tidak Tercemar Susulan Kebakaran Kilang – EXCO

By 25 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Shah Alam)

SHAH ALAM, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin mengesahkan tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) susulan kebakaran di kawasan Kajang Utama kelmarin mengelakkan berlaku pencemaran sungai.

Menurutnya, kebakaran berkenaan melibatkan premis-premis penyimpanan bahan-bahan kimia dan lokasi kejadian berada di kawasan hulu beberapa loji rawatan air (LRA) utama di lembangan Sungai Langat.

“LUAS telah melaksanakan tindakan pencegahan di tapak dengan meletakkan lima beg ‘Activated Carbon’ (AC) dan ‘oil pad’ dalam aliran longkang sebelum aliran tersebut mengalir sehingga ke Sungai Langat.

“LUAS juga mengarahkan premis terlibat untuk mengalihkan beberapa tong IBC milik premis jauh daripada aliran longkang ke kawasan yang selamat dan dikawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan dua bangunan kilang, masing-masing kilang perabot dan kilang produk kimia telah terbakar.

Kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 3.05 petang, membabitkan dua blok bangunan kilang industri kecil yang beroperasi di bangunan kelas A teres satu tingkat.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, BBP Serdang, BBP Bandar Tun Hussein Onn dan BBP Bangi bersama 23 pegawai dan anggota dengan enam jentera digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

-AA-

Tinggalkan komen anda