Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahWilayah Persekutuan

Meriahnya Aidilfitri Teh Hijau KL

By 21 April 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Program Teh Hijau Kuala Lumpur anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkonsepkan majlis rumah terbuka memeriahkan lagi bulan Syawal di ibu kota.

Bertemakan Meriahnya Aidilfitri, warga ibu kota yang hadir disajikan dengan pelbagai juadah makanan yang sedap oleh penjaja-penjaja terpilih di sekitar Kuala Lumpur.

Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalan kenyataan berkata, program itu dimeriahkan lagi dengan anjuran pertandingan berkonsepkan Hari Raya Aidilfitri diadakan seperti pertandingan menganyam ketupat, pertandingan menghias pulut kuning, pertandingan mewarna Ceria Raya, pertandingan busana Aidilfitri serta pertandingan karaoke raya.

“Para pengunjung juga berpeluang untuk mengunjungi reruai perkhidmatan dan pameran oleh DBKL serta agensi-agensi sahabat kami iaitu Tabung Haji, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat, Jabatan Pendaftaran Negara, Perbadanan Tabung Pelajaran Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Bomba dan Penyelamat, GIATMARA dan Jabatan Belia dan Sukan,” katanya.

Selain itu, turut diadakan Jualan RAHMAH, Jualan Kombo AgroMADANI, jualan preloved item serta tukaran barang menerusi Program Kitar Semula 1C1R.

Penampilan istimewa daripada artis terkemuka tanah air Bell Ngasri turut menjadi tarikan orang ramai pada Program Teh Hijau Kuala Lumpur bersempena bulan Syawal di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam.

Hadir bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Kamarulzaman Mat Salleh bersama pelakon dan pengarah terkenal tanah air Datuk Afdlin Shauki yang juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL.

Jelas DBKL, signifikannya penganjuran itu dibuat untuk pihaknya mendekati warga kota menerusi pelbagai pengisian menarik yang diadakan.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda