Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

RM5 Juta untuk Jualan Kasih Johor

By 6 April 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor (Pontian)

PONTIAN, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM5 juta bagi Program Jualan Kasih (KASIH) Johor pada tahun ini berbanding RM1 juta pada tahun lepas bagi Program Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip, berkata peruntukan tersebut ditambah kerana sambutan mengalakkan program BRAJ dan keprihatinan Kerajaan Negeri atas kesusahan rakyat.

“Melalui program KASIH ini juga, kerajaan negeri mensasarkan sebanyak 300 program Jualan KASIH dapat dilaksanakan di seluruh negeri pada tahun ini selepas lebih kurang 60 program Jualan KASIH berjaya dilaksanakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang lalu.

“Untuk sambutan Aidilfitri kali ini, kerajaan telah meletakkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk menjalankan sekurang-kurangnya 60 hingga 70 program Jualan KASIH di seluruh negeri bermula 1 April yang lalu sehinggalah sehari sebelum Aidilfitri,” katanya pada Majlis Pelancaran Jualan Kasih Johor dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 Peringkat Negeri Johor di Dataran Datuk Jalok Benut, di sini semalam.

Datuk Zahari juga berterima kasih kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor melalui usahawan-usahawan mereka yang turut menjayakan program ini dengan memberikan potongan harga istimewa terhadap pelbagai produk jualan seperti daging ayam, daging lembu, ikan dan telur ayam.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut dilaksanakan serentak di sembilan lokasi seluruh negeri Johor semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut Datuk Ir. Hasni Mohammad.

-ZS-

Tinggalkan komen anda