Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Tradisi Rumah Terbuka Aidilfitri Pulau Pinang Kukuhkan Perpaduan

By 19 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Sufian Rashid (Seberang Perai Utara)

KEPALA BATAS, 19 Apr (Malaysiaaktif) – Tradisi rumah terbuka bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia, tetapi budaya ini telah menjadi salah satu wadah untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, sambutan Aidilfitri bukan sekadar perayaan bagi umat Islam, tetapi juga membawa makna yang mendalam kepada masyarakat majmuk negeri ini.

“Seperti bulan Ramadan sebelum ini, Hari Raya Aidilfitri menyediakan platform untuk kita berkongsi kegembiraan dan keharmonian bersama tanpa mengira perbezaan,” katanya di Rumah Terbuka Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di di Dewan Millenium, di sini semalam.

Lebih 10 ribu pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat turut berpeluang untuk beramah mesra, berinteraksi dan berkongsi kemeriahan bersama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd Nor dan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Antara pengunjung yang hadir adalah pasangan suami isteri, Abdullah Ismail, 55, dan Nor Asni Zakaria, 51.

“Kami sungguh gembira dapat hadir dan merasai kehangatan suasana Aidilfitri di sini bersama-sama sahabat yang lain.

“Hidangan dan juadah yang disediakan juga membuka selera,” kata Abdullah.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr. Mohd Abdul Hamid dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Haji Rosli Isa.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda