Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Belanjawan 2025 Memberi Tumpuan Membela Ekonomi Rakyat

By 18 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zaidy Salim/RTM

PUTRAJAYA, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan yang selesai membentangkan Belanjawan 2025 petang tadi dilihat memberikan tumpuan kepada membela ekonomi dan mengangkat martabat rakyat berteraskan kerangka Ekonomi Madani.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata banyak daripada usaha dalam pembentangan Belanjawan 2025 adalah berteraskan konsep keadilan iaitu memberikan bantuan kepada yang sepatutnya.

“Sudah pasti kalau kita lihat banyak yang telah meningkat kalau dibandingkan dengan tahun lalu ataupun tahun-tahun sebelum ini.

“Tambahan kepada itu kita juga lihat iltizam secara keseluruhan di pihak kerajaan untuk mengurangkan defisit, mengurangkan hutang termasuk pinjaman-pinjaman baru,” katanya.

Menurutnya, selain daripada peningkatan gaji bagi penjawat awam, Dasar Gaji Progresif dan juga penetapan kadar gaji minima yang baru membuktikan bahawa usaha kerajaan untuk menaikkan lantai ataupun to raise the floor akan memastikan pendapatan rakyat meningkat akan menjadi satu realiti.

“Sudah pasti di pihak Kementerian Komunikasi kami akan berusaha untuk pastikan segala pengumuman yang telah dibuat akan dapat sampai ke seluruh pelosok negara

“Bagi tujuan ini, antara lain kami melalui Jabatan Penerangan dan Komuniti MADANI akan memastikan semua lebih daripada 50 ikhtiar yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan difahami dan diterapkan supaya di seluruh peringkat masyarakat akan mendapat maklumat ini bukan hanya di media sosial tapi juga di peringkat akar umbi,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda