Laporan/foto: Sobri Manan/Hazwan Hassan (Langkawi)
LANGKAWI, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Langkawi mencatatkan kehadiran pelancong berjumlah 2.1 juta orang pada suku ketiga tahun ini menunjukkan bahawa industri pelancongan di Langkawi semakin bertambah baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Haslina Abdul Hamid yakin bahawa pihaknya dapat mencapai sasaran tiga juta kehadiran pelancong menjelang akhir tahun ini.
“Kehadiran 2.1 juta pelancong dalam dan luar negara bermula Januari hingga September menunjukkan 75 peratus daripada sasaran berjaya dicapai.
“Pelbagai inisiatif termasuk 22 penerbangan terus dari Poland ke Langkawi bermula hari ini (Isnin) hingga Mac tahun depan. Sehubungan itu, dijangka bilangan pertumbuhan pelancong akan terus meningkat,” katanya, di sini semalam.
LADA dengan kerjasama Tourism Malaysia, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), agensi kerajaan serta pemain industri pelancongan Langkawi menyambut baik ketibaan penerbangan sulung LOT Polish Airlines yang berpangkalan di Poland, di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).
Menurutnya lagi, inisiatif yang diambil ini diyakini dapat memberi impak positif kepada Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran 26.1 juta pelancong asing serta dianggarkan menelan perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.
“LADA berharap semua pihak terutamanya pemain industri pelancongan termasuk komuniti Langkawi turut memainkan peranan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memajukan pelancongan pulau ini bersama kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.
Terdahulu, Haslina mengetuai majlis sambutan ketibaan 275 penumpang menaiki penerbangan sewa khas sulung LOT Polish Airlines dari Poland ke LTAL.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dr Yasmeen Yasim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P Manoharan dan Pegawai Daerah Langkawi Mohamad Subhi Abdullah.
-ZS-