Laporan/foto: Sufian Rashid/Shamsul Bahari Abdul Shukor
BUTTERWORTH, 4 Okt (Malaysiaaktif) – TPr Mohamed Jamil Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Perancang Bandar sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam memajukan pembangunan bandar yang mampan di negeri ini.
Mengimbas kembali pencapaiannya yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang dari tahun 1993 hingga 2000, beliau merupakan figura penting dalam sektor perancangan bandar dengan lebih tiga dekad pengalaman.
Kepakarannya dalam pengurusan ruang dan pembangunan bandar mampan menjadi asas kepada banyak projek infrastruktur bandar yang berjaya. Selain itu, beliau juga terlibat dalam pemeliharaan warisan budaya dan alam sekitar, menjadikan Pulau Pinang sebagai model pembangunan yang seimbang antara kemajuan dan kelestarian.
TPr. Mohamed Jamil menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas pengiktirafan ini dan berharap generasi baharu perancang bandar akan terus berpegang kepada prinsip kelestarian dalam pembangunan.
“Saya sangat terharu menerima anugerah ini, perancangan bandar bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi lebih kepada merancang kehidupan masyarakat,” katanya ketika ditemu bual Malaysia Aktif selepas majlis, di sini semalam.
Walaupun telah bersara, semangat Mohamed Jamil dalam bidang perancangan bandar tidak pernah pudar.
Kini, beliau terus menyumbang bakti sebagai pensyarah di Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya yang menjadi jambatan antara industri dan akademik bagi memastikan ilmu dan pengalaman beliau dapat disampaikan kepada generasi perancang bandar yang seterusnya.
-ZS-