Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Pejabat Kesihatan Pekan
PEKAN, 4 Okt (Malaysiaakif) – Demi menjaga kesejahteraan dan kesihatan penduduk satu projek menaik taraf bekalan air tandak atau lebih dikenali sebagai empangan Gravity Feed System (GFS) di Kampung Orang Asli Lamait di Mukim Penyor kini sedang giat dijalankan oleh anggota Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) Pejabat Kesihatan Daerah Pekan.
Kerja-kerja menaik taraf ini melibatkan penyelenggaraan dan penambahbaikan pada struktur binaan asal yang telah mengalami kerosakan berikutan kejadian kepala air yang telah melanda.
Aktiviti yang dijalankan secara gotong-royong ini telah pun bermula pada awal bulan Ogos 2024 yang lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan Oktober 2024.
Empangan GFS ini telah siap dibina oleh Unit BAKAS PKD Pekan pada 30 November 2020 meliputi penggunaan oleh 29 orang masyarakat Orang Asli yang terdiri daripada sembilan buah keluarga di sembilan buah rumah.
Sistem ini berfungsi membekalkan air bersih serta selamat untuk diminum, memasak dan kegunaan harian kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada bekalan air terawat.
Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Pekan Dr. Mohd Fahmi, projek ini melibatkan kos yang paling minima sekitar RM45,000 sahaja untuk pembelian alatan yang diperlukan.
“Ianya diusahakan semata-mata membantu untuk meningkatkan taraf kesihatan seluruh penduduk di daerah Pekan khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya semasa ditemui Malaysia Akif, di sini semalam.
-ZS-