Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
PASIR MAS, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Hati mana yang tidak gembira dan ceria apabila motosikal berusia 44 tahun kini boleh digunakan di atas jalan raya?
Ismail Mamat, 69, dari Kampung Chica Tinggi, di sini melahirkan rasa teruja dan gembira selepas motosikalnya jenis Honda 70cc miliknya kini sah dengan pembayaran cukai jalan.
“Selepas 44 tahun, pakcik teruja kerana boleh bawa motosikal di jalan raya, jika dulu hanya di sekitar kawasan kampung sahaja,” katanya.
Ismail ditemui pada Program JPJ Bersama Rakyat yang diadakan sempena Karnival PIBG dan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkong anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kangkong bersama Jabatan Pendidikan Daerah Pasir Mas dan agensi-agensi kerajaan daerah.
Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan Zahari Abdullah, 46, berkata program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dengan ramai penduduk hadir bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan di Kaunter Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile).
“Kami mendapat jemputan daripada pihak penganjur untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti pembaharuan lesen dan cukai jalan kenderaan, pembayaran insurans, serta khidmat nasihat berkaitan keselamatan pengguna jalan raya.
“Namun, kenderaan yang diubah suai dan mengancam nyawa pemandu atau penunggang motosikal tidak akan diluluskan,” katanya ketika membuat pemeriksaan ke atas sebuah motosikal.
Pengunjung karnival Rosman Ismail, 59, berkata setiap kenderaan di jalan raya perlu mengikut undang-undang bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku bagi memudahkan mereka membuat tuntutan sekiranya berlaku kemalangan.
Guru Besar SK Kangkong Azahari Muhamad menjelaskan tujuan program ini adalah untuk menyatuni masyarakat setempat serta mendekatkan ibu bapa dan guru dengan pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan.
“Saya bersyukur program ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak dan program seperti ini akan sentiasa diadakan di masa akan datang kerana banyak manfaatnya.
“Semangat dan sokongan padu daripada masyarakat, bukan sahaja memperkuatkan hubungan antara penduduk dan agensi kerajaan tetapi juga memberikan peluang kepada usahawan dan masyarakat untuk bergerak maju dalam perniagaan dan kehidupan seharian,” katanya kelmarin.
Program yang berlangsung selama tiga hari diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Program Jualan Rahmah, Seloka Bersahut, sukan rakyat pameran dan perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
-ZS-