Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Persatuan Karate Labuan
LABUAN, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Kejohanan Karate Kadet Remaja dan Bawah 21 tahun Kebangsaan (MAKAF) kali ke-32 2024 yang berlangsung di Melaka menjadi kenangan manis buat pasukan karate Labuan apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas.
Menurut Ketua Jurulatih Karate Labuan, Aswadee Taba pencapaian itu adalah yang terbaik selepas 20 tahun Labuan menghantar wakil pada setiap kali penganjurannya.
“Daripada empat atlet Labuan yang bertanding Kategori Kadet, tiga atlet berjaya meraih dua emas dan dua gangsa, ini kali pertama Labuan memperoleh lebih satu pingat emas dalam Kejohanan Kebangsaan selepas lebih 20 tahun menyertai kejohanan itu.
“Tahniah pasukan karate Labuan dan kredit kepada Jurulatih Pengiring, Syarulniza Abd. Jamil atas komitmennya bersusah payah menyediakan program latihan selama hampir dua bulan akhirnya berbaloi dengan kejayaan ini,” katanya semasa ditemui media, di sini semalam.
Pasukan Labuan memperolehi emas melalui Diya Khalish Kasryanto dalam kategori Kumite Kadet Wanita -61kg dan Putri Nurbuhairah Norazlan dalam kategori kumite Individu Wanita Kadet -47kg. Manakala Putri Nurbuhairah juga berjaya menyumbang gangsa dalam acara Kata Individu Wanita Kadet dan sebutir lagi gangsa disumbangkan Muhammad Adil Mohd Badruddin dalam acara Kumite Individu Lelaki Kadet –60kg.
-ZS-