Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad
SETIU, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Tengku Mohd Ali Tengku Mansor, seorang pesara tentera berusia 80 tahun mempunyai hobi yang amat unik iaitu mengumpul botol dan dipamerkan di Rumah Botol miliknya di Kampung Mangkuk, di sini.
Lebih dikenali dengan panggilan Ayah Ku, beliau memulakan hobi ini kira-kira 20 tahun lalu apabila mula mengutip botol yang banyak terdampar di tepi pantai berhampiran kediamannya.
Menurut Ayah Ku, inspirasi untuk mengumpul botol bermula selepas beliau menegur sekumpulan kanak-kanak yang meletupkan mercun dalam botol di tepi pantai sehingga menyebabkan botol tersebut pecah.
“Pada waktu itu, saya mendapat ilham untuk mengumpul botol supaya tidak terbiar pecah dan membahayakan pengunjung pantai,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Sehingga kini, Ayah Ku telah berjaya mengumpul hampir 15,000 biji botol pelbagai jenis dari pelbagai negara.
Kebanyakan botol yang dikumpulkannya adalah hasil kutipan di tepi pantai dan beliau pernah berjalan kaki sejauh lima kilometer untuk mencari botol yang terdampar.
Menurutnya lagi, musim terbaik untuk mengutip botol adalah dari Disember hingga Februari iaitu ketika musim Monsun Timur Laut yang menyebabkan ombak besar dan banyak botol terdampar di pantai.
Selain mengutip botol, Ayah Ku juga turut menerima botol khas yang direka oleh pembuat minuman ringan antarabangsa sebagai hadiah.
Keunikan hobi ini bukan sahaja menjadikan rumahnya dipenuhi dengan koleksi botol yang berharga tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat dengan menjaga keselamatan di pantai.
-ZS-